Dekati Murid Tercicir

Taylor’s College bantu tingkatkan kesedaran dalam penguasaan kemahiran menulis, membaca dan mengira di luar bandar

KAJIAN yang dijalankan Kementerian Pendidikan bagi menangani isu keciciran murid mendapati terdapat peningkatkan dalam bilangan itu di kawasan pendalaman Sarawak di peringkat sekolah rendah. Berdasarkan rekod kementerian, sebanyak enam peratus bilangan murid daripada sekolah rendah tidak meneruskan pelajaran ke peringkat menengah sejak beberapa tahun lalu. Menyedari hakikat itu, baru-baru ini Taylor’s College, menerusi program Make A Difference United (MADU) telah mengadakan aktiviti bersama murid tercicir di kawasan pedalaman di Lundu, Sarawak dalam usaha membantu membina keyakinan diri dalam pembelajaran.
 

Presiden Taylor’s College, Lim Tou Boon, berkata, kerajaan telah meningkatkan usaha bagi menangani masalah keciciran murid daripada peringkat rendah hingga ke menengah di sekolah di seluruh negara. “Taylor’s College menyokong usaha ini. Kami amat berbangga dengan usaha kerajaan dan atas inisiatif itu juga pelajar kolej ini membantu menghulurkan bantuan dengan memberi bimbingan dan berkongsi pengalaman pembelajaran mereka bersama murid tercicir ini,” katanya.
 
Kajian selidik yang dijalankan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), mendapati bilangan murid tercicir daripada sekolah disebabkan faktor membaca yang rendah di kalangan murid selain kegagalan menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira (3M), kemiskinan dan masalah pengangkutan dikenal pasti sebagai antara faktor penyumbang kepada masalah keciciran itu. Tou Boon menambah, melalui program MADU itu dapat membantu murid tercicir dalam menangani kebimbangan itu selain membantu meningkatkan matlamat dan cita-cita masa depan mereka selain menggabungkan aktiviti luaran dengan kemahiran baharu.
 

Sementara itu, pelajar Matrikulasi Antarabangsa Australia Selatan Amelia Tee,18, berkata, objektif dalam membantu murid-murid tercicir ini diharap dapat diteruskan pada masa depan. “Saya belajar menghargai betapa pentingnya kerjasama sepasukan. Kami perlu menguasai kemahiran menguruskan masa dan menyelesaikan masalah dengan murid tercicir ini. Mereka perlu dibantu dalam meningkatkan keyakinan diri serta minat dalam menuntut ilmu.Keseronokan dan keriangan yang terpancar di wajah mereka ini memberikan kami kepuasan dalam melakukan sesuatu aktiviti bersama mereka,” katanya.

16 Mac 2015 – Helo Kampus, Utusan Malaysia