Sentuhan Unik Cari Dana


Tersentuh dengan usaha Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) memberi bantuan kemanusiaan, pelajar Taylor's College menyumbang RM30,000 bagi membantu pertubuhan sukarela itu mendapatkan bekalan perubatan untuk mangsa krisis Gaza, baru-baru ini.

Wang itu dikumpulkan menerusi perlawanan amal futsal Taylor's College Bubble Cup 2014 yang dilakukan dengan sentuhan unik iaitu peserta menyarung gelembung belon berbentuk seperti bola yang kemudiannya perlu berlaga satu sama lain untuk menjaringkan gol.

Presiden Taylor's College, Lim Tou Boon berkata, program berkenaan bukan saja bertujuan mendidik generasi muda peka terhadap kesusahan orang lain, malah membantu melihat tanggungjawab sosial daripada perspektif berbeza. "Taylor's College mahu pelajar membawa perubahan dan pendekatan berlainan bagi membantu masyarakat memerlukan. "Ia juga menjadi landasan untuk membantu mereka supaya mengaplikasikan ilmu dipelajari di luar kampus di samping memberi peluang mempelajari pengalaman baru mengenai dunia sebenar menerusi aktiviti amali," katanya.

Selain mengumpul dana untuk bekalan perubatan, Taylor's College Bubble Cup bertujuan membina semangat setia kawan antara pelajar dan guru dari kampus berlainan menerusi penyertaan dalam acara sukan menyeronokkan. Pengerusi Penganjur Taylor's College Bubble Cup, Vikash Bavisi berkata, mereka teruja menjayakan Bubble Cup yang julung kali dianjurkan bagi membantu masyarakat luar.

"Program ini ibarat serampang dua mata pada kami kerana bukan saja melakukan aktiviti untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik, tetapi juga mengeratkan hubungan antara satu sama lain. "Ia juga menjana kreativiti dalam kalangan kami untuk memikirkan cara bagaimana mahu menjana pendapatan bagi mencapai dana disasarkan.

"Kami gembira kerana berjaya mengumpul dana lebih daripada sasaran ditetapkan. Ini menaikkan semangat kami untuk melakukan perkara sama pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014